Sains Di Sebalik Kesihatan Mental

Sains Di Sebalik Kesihatan Mental

Walaupun para saintis tidak dapat mengenal pasti dengan tepat punca isu kesihatan mental, mereka merumuskan bahawa tiga faktor berkemungkinan besar menyumbang kepada gejala tersebut iaitu faktor persekitaran, genetik dan sosial.

Saintis mempercayai bahawa isu-isu ini berpunca dari masalah komunikasi antara neuron-neuron di otak (neurotransmission). Sebagai contoh, tahap neurotransmitter serotonin lebih rendah pada individu yang mengalami kemurungan. Jika tidak ditangani sewajarnya, perkara ini berisiko membawa kepada ‘bahaya psikososial’ (psychosocial hazard) yang lebih serius.

Oleh itu, adalah penting untuk kita menyedari tentang pentingnya kesedaran terhadap kesihatan mental, kepentingan memelihara tahap kesihatan mental yang baik dan mengenal pasti gejala-gejala masalah kesihatan mental yang memerlukan intervensi dan rawatan.

Dalam Petrosains STEM Live kali ini, kita akan membincangkan topik “Sains Di Sebalik Kesihatan Mental“ yang semakin hangat diperkatakan.

Ahli panel adalah:

Profesor Dr. Alvin Ng Lai Oon, Profesor dan Ketua Jabatan Psikologi, Universiti Sunway

Profesor Dr. Alvin Ng Lai Oon ialah seorang pakar Psikologi Klinikal. Beliau kini bertugas sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Psikologi di Pusat Pengajian Sains dan Teknologi, Universiti Sunway. Dr. Ng memperolehi Ijazah Kedoktoran dalam bidang Psikologi Klinikal dari Universiti Murdoch, Australia Barat, dan sebelum itu menerima Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Western Australia. Beliau mempunyai pengalaman selama 18 tahun sebagai ahli akademik, serta merupakan pengamal Psikologi Klinikal. Walaupun Dr. Ng kini berada dalam bidang akademia secara sepenuh masa, beliau masih aktif memperjuangkan bidang Psikologi Klinikal sebagai bidang ikhtisas kesihatan mental. Dr. Ng merupakan Presiden pertama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia yang telah ditubuhkan oleh beliau pada tahun 2010.

Y.Bhg Datin Dr. Norsayani Bt. Mohamad Yaakob, Penasihat Kesihatan Pekerjaan, Kumpulan Kesihatan Keselamatan Sekuriti dan Alam Sekitar, PETRONAS

Datin Dr. Norsayani merupakan pakar dalam bidang Kesihatan Pekerjaan sejak 22 tahun yang lalu. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Kesihatan Pekerjaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan sebelum itu telah menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Perubatan dari Universiti Sains Malaysia. Belia juga merupakan pemegang sijil dalam Kesihatan Pekerjaan dari Jepun dan sijil dalam Kursus “Train the Trainer” dari Australia dan merupakan Ahli, Jawatankuasa Kesihatan, OGP-IPIECA dan juga Felo dan Bendahari Kehormat, Akademi Perubatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (AOEMM). Datin Dr. Norsayani telah berkhidmat bersama PETRONAS sejak 14 tahun yang lalu.

Moderator untuk sesi ini:
Nurhayati Zulkifli, Sains Fasilitator, Petrosains

Nurhayati Zulkifli telah berkhidmat sebagai seorang Sains Fasilitator di Petrosains, The Discovery Center selama 6 tahun. Beliau banyak terlibat dalam koordinasi dan pelaksanaan program STEM untuk pelajar sekolah, di dalam Petrosains dan di seluruh Malaysia, serta pernah ditugaskan ke Garraf, Iraq untuk melaksanakan program STEM untuk pelajar dan guru di sana. Nurhayati memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Environmental Management and Sustainability dari University of South Australia. Aspirasi beliau adalah untuk memupuk pembudayaan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) di kalangan masyarakat dengan menggalakkan perbincangan berterusan mengenai topik STEM dalam konteks kehidupan seharian.

CelebratingLifeEnrichingLives #Petrosains2020 #Petrosains #STEMlive

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *